Saturday, February 26, 2011

Stailo: Lelaki & bercukur



SUKA atau tidak, lelaki perlu sentiasa bercukur misai dan janggut untuk tampak kemas. Biarpun kadang-kala 'letih' melakukan rutin ini, namun amalan bercukur misai dan janggut perlu dilakukan demi kekemasan diri.

Bagi segelintir lelaki, detik mencukur misai dan janggut cukup membebankan. Manakan tidak, ada ketikanya aturan cukur tidak selancar biasa biarpun sudah mematuhi panduan seperti membasahkan bahagian cukuran dengan air suam, menyapu krim cukur atau menggantikan bilah pisau pencukur baru.
Namun, sudah menjadi kelaziman, kadang kala rutin ini boleh menjadi ‘haru biru’ hingga kulit terluka dek tergesa-gesa menyapu pisau pencukur di dagu. Akibat dari luka yang teruk, ada lelaki terpaksa membiarkan janggut tumbuh berhari-hari kerana merasa serik atau bimbang terluka lagi.

Sehubungan itu, amat penting bagi lelaki mempelajari selok belok bercukur bagi membolehkan amalan ini menjadi suatu aktiviti menyeronokkan di dalam bilik mandi.

Dalam hal ini, seseorang lelaki harus memahami teknik terbaik bagi memastikan proses bercukur lancar. Tidak semestinya menggunakan set cukur yang mahal untuk mendapatkan kesan cukuran terbaik. Sebaliknya, teknik bercukur dan kedudukan mata pisau menentukan hasil cukuran terbaik.
Pada masa sama, penggunaan krim bercukur membantu melancarkan proses bercukur. Ini diakhiri dengan menyapukan krim selepas bercukur untuk hasil yang cukup menyegarkan.
Teknik bercukur
Bagi lelaki yang ingin bercukur pada waktu pagi, biarkan kulit wajah rehat sekurang-kurangnya bagi 10 minit selepas bangun dari tidur, Kemudian, cuci wajah anda dengan pencuci wajah pilihan. Selain membantu menghilangkan sel kulit mati, proses membersihkan wajah bertindak membuka liang roma dan melembutkan kulit di sekitar misai dan janggut.
Selesai membersih wajah, aturan baik yang boleh dipraktikkan ialah melekapkan tuala panas di bahagian yang hendak dicukur. Seterusnya, gunakan berus khas yang disapu krim pencukur sebelum diratakan di bahagian yang hendak dicukur dengan cara berputar.
Selain menghasilkan buih yang lebih banyak, kelebihan rutin ini ialah ia menyumbang kepada proses bercukur yang lebih selesa dan nyaman. Sebelum bersedia untuk bercukur, pastikan mata pisau adalah tajam untuk kesan cukuran paling berkesan.
Seeloknya mata pisau tidak digunakan lebih daripada seminggu. Ini kerana ia tidak lagi mampu memberi cukuran licin. Pastikan kedudukan bercukur mengikut satu aliran saja. Jangan sesekali menekan atau menggores kulit secara kasar.
Lakukan secara perlahan-lahan sebelum membilas dengan air sejuk. Selesai bercukur dan membilas bersih, langkah seterusnya ialah menyapu penyegar dan pelembap yang dapat mengembalikan lembapan kulit kering kesan daripada cukuran.
Manakala, set cukuran pula haruslah direndam seketika dengan air hangat.

Selepas mengikuti tip ini, anda pastinya tidak lagi trauma setiap kali ingin mencukur bersih atau merapi misai dan janggut. Selamat mencuba! 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SaNg PrIa KeSePiAn Love Letters

CeRiTeRa SaNg PrIa KeSePiAn